Arkib | Januari, 2012

ULASAN BUKU : TUAN DIREKTUR

26 Jan

Karya Pak Hamka

Saya cukup terkesan dengan membaca buah tangan Pak Hamka yang kali ini. Tuan Direktur sebuah karya yang kaya dengan kata-kata hikmah, pengajaran yang berguna dan menginsafkan serta teladan yang baik dalam mengejar kehidupan.

Tuan Direktur bukanlah berkisar tentang direktor yang menyelenggara bidang perfileman. Tuan Direktur yang dimaksudkan dalam novel ini adalah Tuan Besar atau Orang Kaya. Maka, Tuan Direktur adalah merujuk kepada Jazuli seorang pemuda Banjar yang telah mencuba nasib berniaga di bandar Surabaya. Kejayaan Jazuli membina toko emas dan intan yang besar sehingga dikenali sehingga ke luar negara telah mengubah Jazuli menjadi seorang yang dahagakan pujian orang ramai dan takbur dalam mengejar kekayaan dan kehormatan. Dikelilingi oleh teman-teman yang hanya sekadar mengambil kesempatan kekayaannya seperti Mas Karto, Margono, Mr. Mustafa, Mr. Sumarta dan Kadri yang sentiasa memuja-muja Tuan Direktur lantas menjadikan beliau semakin lupa diri.

Pak Yasin pula adalah seorang lelaki tua yang pemurah dan peramah dengan sesiapa sahaja. Sikap Pak Yasin menjadi kesenangan kepada orang kebanyakan khususnya penyewa-penyewa di tapak tanahnya yang dibina tapak rumah sewa kecil. Penyewanya terdiri daripada kuli-kuli dan para penjaja yang kehidupan mereka tidak sentiasa senang. Walau bagaimanapun, di tapak tanah tersebut, Pak Yasin berbesar hati membina surau sebagai tempat berkumpulnya sesama mereka sekaligus menambahkan lagi pertautan hubungan bagai bapa dan anak-anak bukan sahaja pada waktu solat malahan ketika hari-hari kebesaran Islam.

Namun, yang menjadi plot utama novel ini adalah kerakusan Tuan Direktur yang berhajat untuk mendapatkan tapak tanah Pak Yasin itu bagi membina kilang perusahaan kain. Setiap waktu, utusan dihantar untuk memujuk Pak Yasin agar menjual tanahnya dengan pelbagai suapan seperti diberi wang tunai dan makanan yang enak. Tetapi, semuanya ditolak dengan baik oleh Pak Yasin.

Kehidupan Pak Yasin walaupun serba kekurangan, namun kaya dengan budi bahasa, jiwa yang lapang dan falsafah kehidupan yang mengajak kepada keTuhanan telah menarik minat seorang pemuda, Fauzi untuk berdekatan dan bergaul dengan Pak Yasin. Fauzi bekas pengurus hotel Tuan Direktur yang dipecat telah mengambil keputusan untuk membina kehidupan sendiri dengan tujuan yang lebih jelas tanpa terpengaruh dengan kebendaan sebagaimana yang dipelajari daripada Tuan Direktur. Pertemuan dengan Pak Yasin telah mengubah prinsip hidupnya bahawa kesenangan di akhirat lebih utama.

Melalui pembacaan novel ini, pembaca disuguhkan dengan falsafah-falsafah kehidupan dan sindiran tajam yang disampaikan oleh Pak Hamka melalui watak Pak Yasin. Salah satunya ;

“…iaitu tindasan majikan kepada buruh, buruh hanya sebagai alat perkakas untuk pengayakan majikan dan majikan memandang buruhnya tidak ada harga, kecuali untuk penambah kekayaannya. Tidak kecil hati bapa keadaan itu kalau terjadi di tanah lain. Tetapi kecil hati bapa kalau terjadi di tanah yang dikongkong keislaman ini”

Klimaks novel ini berlaku apabila Pak Yasin, Fauzi dan beberapa orang pelajar yang buta huruf serta Tuan Direktur sendiri telah ditangkap oleh pihak berkuasa atas fitnah melakukan rapat rahsia untuk menjatuhkan pemerintah. Peluang di penjara digunakan sebaik mungkin oleh Pak Yasin menyampaikan pesanan atau nasihat yang cukup pedih buat Tuan Direktur. Kesudahannya, anda perlu dapatkan buku ini kerana ia menjanjikan kepuasan yang tersendiri.

Jadi, membaca novel ini mencetuskan satu pengajaran kepada pembaca agar jangan takbur dan tamak kepada dunia yang sebenarnya banyak menipu. Semua harta dunia adalah pura-pura buat melalaikan manusia daripada tujuan sebenar hidup di bumi yang fana ini. Walaupun novel Tuan Direktur ini nipis namun sarat dengan pelajaran untuk diambil hikmahnya.

ULASAN BUKU : BIMASAKTI MENARI

24 Jan

Syukur alhamdulilah kerana dengan limpah kurnia-Nya, saya masih diberi umur yang panjang untuk menitipkan tulisan di teratak ini yang sudah lama terbiar usang. InsyaAllah, semoga ketikan jari di papan kekunci ini menjadi detik permulaan dan saksi kepada kembalinya memugar segar blog MENJANA MINDA. Doakan..

Saya telah hampir membaca dan memiliki kesemua karya beliau. Antaranya Odisi Tanah Kencana, Warisnya Kalbu, Kasih Nan Agung, dan Impuls/Roh. Hanya Bukan Legasi Lalang yang saya masih belum miliki dan hadam isinya. Kesemua karya beliau telah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Kategori Novel Remaja dan yang terbaharu adalah Bimasakti Menari. Siapakah penulis ini? Beliau adalah Sri Rahayu Mohd Yusop. Beliau adalah salah seorang penulis yang saya tunggu karyanya setiap tahun.

Bimasakti Menari adalah sebuah karya yang mengisahkan tentang pemeliharaan alam sekitar khususnya untuk menangani pencemaran cahaya. Sebagai seorang pencinta alam, saya berasa teruja untuk membaca buah tangan penulis kali ini selepas dikecewakan dengan Impuls/Roh. Tahniah kepada penulis kerana membuka pandangan pembaca tentang kepentingan menjaga kelestarian alam daripada tangan-tangan yang merosakkan dengan tujuan pembangunan.

Watak utama, Nurul Hafsa adalah seorang graduan lulusan Ilmu Falak telah mencabar dirinya untuk mengembalikan kegelapan langit Kuala Selangor setelah kecewa kerana gagal menyumbangkan kepakarannya dalam mencerap langit kepada pelajar cilik dari Jepun. Rentetan itu, Nurul Hafsa berjuang agar Kuala Selangor kembali kepada fungsinya sebagai sebuah tempat pengkaji bintang amatur dan profesional.

Muhammad Taufik pula adalah seorang yang mempunyai impian untuk memelihara populasi kelip-kelip yang cukup terkenal di Kuala Selangor khususnya di Kampung Kuantan. Populasi haiwan tersebut yang sudah semakin berkurangan mencetuskan ilham kepada Muhammad Taufik untuk membina suatu kawasan di luar grid kemanusiaan agar kelip-kelip mempunyai ruang dan peluang untuk hidup tanpa gangguan manusia mahupun persekitaran.

Maka, objektif yang hampir sama dalam memelihara alam sekitar menjadikan Nurul Hafsa dan Muhammad Taufik bergabung tenaga untuk mencapai dua tujuan hakiki yakni pertama, mengembalikan kegelapan langit atau mengurangkan pencemaran cahaya. Kedua, mewujudkan semula populasi kelip-kelip daripada ancaman.

Sememangnya, sesebuah novel tidak lari daripada konflik. Ia menjadikan novel ini tidak mendatar, namun saya rasa mungkin konflik yang ditimbulkan daripada Johann Arlington-Majid mungkin boleh dikembangkan lagi kerana perkembangannya agak terbatas dan terlalu cepat untuk diusaikan. Walau bagaimanapun, ia masih tidak menjejaskan kelebihan buku ini dalam menyampaikan intelektual berkenaan bidang falak dan cahaya.

Kesempatan diri yang pernah menjalani latihan praktikum di Tanjung Karang, Selangor membuatkan saya dapat melakukan imaginasi yang baik dalam mencicip kenikmatan Bimasakti Menari kerana Kuala Selangor bukan suatu bandar yang asing bagi saya setelah 3 bulan di sana pada tahun 2008. Sudah semestinya saya masih mampu mengimbau kenangan melawat Bukit Melawati dan kawasan perkampungan Kampung Kuantan.

Sememangnya tahniah kepada penulis atas kemenangan beliau melalui novel ini kerana menawarkan sesuatu yang berlainan dalam menangani isu alam sekitar kepada pembaca khususnya kepada para remaja.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.