Menjamu mata melihat kafe-kafe buku di seluruh dunia,
Semua foto-foto di atas dikesani dengan menggunakan Google Images. Tetapi, tak jumpa pula Kafe Buku di tanah air sendiri. Wujud jugakah di Malaysia? Jika ada, sudi berkongsi bersama saya..
Kewujudan laman sosial Facebook ciptaan Mark Zuckerberg ini memang telah banyak mengubah kehidupan manusia termasuk saya. Semenjak adanya laman tersebut, masa yang ada untuk menitipkan sebarang entri di blog sudah semakin menurun tahapnya sehingga boleh bersawang agaknya.
Kali ini saya ingin berkongsi tentang satu masalah saya yakni menghabiskan pembacaan buku dalam bahasa Inggeris. Yang saya ingat antara buku dalam bahasa Inggeris yang saya dapat habiskan dengan sempurna adalah karya Paulo Coelho bertajuk The Alchemist dan Thomas L. Friedman (Hot, Flat and Crowded..). Selebihnya ada yang berhenti setengah jalan. Malahan ada juga yang terus terperuk di almari buku tidak disentuh. Sehubungan itu, rak buku saya lebih banyak terkandung buku-buku bahasa Melayu dan Indonesia. Untuk membaca karya-karya agung penulis Barat mahupun Timur Tengah, saya lebih rela membaca terjemahannya dalam bahasa Indonesia.
Walau bagaimanapun, saya tidak anti bahasa Inggeris. Cuma saya tidak mempunyai kesabaran dan keyakinan yang tinggi untuk menghabiskan buku dalam bahasa tersebut. Dengan tulisan yang kecil dan halamannya yang tebal, ia betul-betul menguji kesabaran lebih-lebih lagi jika isi kandungannya tidak menarik. Syukur dengan adanya Facebook, saya sering mengikuti perkembangan buku-buku bahasa Inggeris yang dijual oleh Bookxcess. Memang mengujakan apabila melihat buku yang ditawarkan dengan harga yang begitu murah jika dibandingkan dengan kedai buku besar seperti MPH, Popular, Borders dan Kinokuniya KLCC.
Maka, semenjak mengenali Bookxcess, saya lebih gemar membeli buku berbahasa Inggeris daripada mereka. Beberapa bulan lepas sempat memesan daripada adik yang tinggal di IPG Bahasa Melayu untuk mendapatkan buku yang saya ingin miliki. Dan apabila adik balik bercuti, rasa seronok apabila memegang dan membelek helaian buku tersebut.
Buku berkaitan CEO Apple dan asal-usul sesuatu perkara/benda
Halaman belakang ‘blurb’ The Book Of Origins by Trevor Homer
Sebenarnya sudah banyak juga saya berbelanja di Bookxcess sebelum ini. Tetapi, sehingga sekarang masih belum sempat menodai semua buku-buku yang dibeli itu. Hehe.
Alhamdulilah, saya dan keluarga kecil saya (isteri dan bayi perempuan) selamat kembali selepas hampir seminggu bercuti di halaman sebelah isteri. Syukur juga kepada Allah swt kerana memberikan kesihatan yang baik kepada bapa mertua setelah dua malam bermalam di hospital kerana sakit.
Kini, baki persekolahan berbaki dua hari sahaja lagi sebelum rutin biasa kembali dijalani. Mengambil kesempatan cuti yang ada, seperti biasa diri ini sering tidak tertahan dengan godaan buku-buku di toko buku sedia ada di sekitar Kuala Lumpur walaupun pada tujuan asalnya menemani isteri untuk membeli barang keperluan isteri di sekitar Jalan TAR. Walaupun hajat di hati cuba bertahan untuk membeli buku baharu, namun masih juga gagal mengawal nafsu itu.
Sepanjang seminggu, kami menaiki kereta untuk ke mana-mana sahaja termasuk ke Jalan TAR tadi. Justeru, apa yang menjadi pelajaran baru kepada saya ialah perbelanjaan seharian bermula keluar daripada rumah. Baru saya memahami mengapa perniagaan online mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai khususnya bagi masyarakat tinggal di kawasan bandar dan pinggirannya. Kos yang terlibat amat besar yakni seperti pembayaran minyak kereta (tersangkut-sangkut dalam kesesakan jalan raya), bayar tol, parkir kereta dan perbelanjaan lain yang tidak berkaitan dengan tujuan asalnya.
Atas sebab-sebab ini juga selain minat saya sendiri kepada BUKU, maka saya telah menyertai jaringan Stormreaders bagi membantu menyebar luaskan bekalan buku-buku agama untuk tatapan khalayak ramai secara atas talian. Walaupun ini adalah usaha awal dan dibuat secara kecil-kecilan, alhamdulilah sambutannya agak menggalakkan. Perkara ini sudahpun saya nukilkan dalam entri saya sebelum ini yakni Kedai Buku Maya.
Pada minggu lepas sepanjang ketiadaan saya di kampung halaman, akhirnya stok yang agak lama saya tunggu sampai juga yang terdiri daripada puluhan naskhah Majalah Solusi Isu 29 dan beberapa buah buku yang ditempah oleh pelanggan.
Bungkusan yang diterima daripada Stormreaders
Buku yang sudah ditempah pelanggan kecuali
(Solat Berjemaah, 41 Kelebihan Rasulullah saw dan sebuah Diari Hamil)
Apabila mendapat bungkusan mengandungi buku-buku sebegini, diri terasa begitu teruja sekali untuk membuka helaian bungkusan dan memegang buku yang ada dengan penuh kenikmatan. Dalam masa yang sama, saya juga membuat tempahan dua jilid kitab yakni kitab FATHUL BARI Syarah Sahih al-Bukhari daripada seorang pengedar yang membekalkan kitab-kitab agama dengan harga yang menarik. Mungkin anda boleh kunjungi ke halaman web beliau di sini. Saya memang sudah lama berkeinginan untuk memiliki kitab ini kerana saya berpegang dengan amanah Allah swt supaya hamba-Nya berpegang kepada dua sumber iaitu Al-Quran dan sunnah Rasulullah saw ataupun dikenali sebagai ilmu hadis.
Jaminan daripada pengedar membuatkan pembeli selesa dengan
sticker sebegini pada bungkusan
Fathul Bari Jilid 1 dan 2 (Jilid lain kena kumpul wang dulu)
InsyaAllah, dengan adanya sumber bacaan yang kini pelbagai di pustaka mini saya, cuba berazam lebih gigih untuk lebih banyak membaca demi meluaskan lagi perspektif dalam pelbagai isu sekaligus menjana minda ke arah yang lebih kritis dan positif. Amin.
Komen