Arkib | April, 2010

Apa yang saya baca..

22 Apr

Esok merupakan satu hari yang sangat istimewa kepada golongan pecandu buku. Seluruh dunia akan menyambut hari esok dengan harapan buku menjadi santapan minda yang abadi dalam jiwa pembaca walaupun kini disaingi pelbagai gajet yang bisa mengelapkan dunia perbukuan konvensional jika perubahan minat pembaca berjaya dipengaruhi oleh gajet-gajet mewah sekarang.

23 April setiap tahun Hari Buku dan Hari Hak Cipta Sedunia akan diraikan. Pada tahun ini, Ljubljana, Slovenia dipilih sebagai ibu kota buku sedunia yang menewaskan bandar-bandar lain yang juga kepingin untuk menjadi tuan rumah. Bagaimana Ljubljana boleh dipilih? Anda boleh baca di sini.

Namun, apa yang saya ingin kongsikan di teratak ini adalah bukan untuk menceritakan tentang hari buku sedunia. Tetapi, saya ingin berkongsi berkenaan buku yang saya tengah uliti pada masa ini yakni karyanya Thomas L.Friedman bertajuk Hot, Flat and Crowded : Why The World Needs a Green Revolution – And How We Can Renew Our Global Future. Terlebih dahulu ingin saya katakan, saya masih belum mengusaikan pembacaan buku tersebut. Masih di pertengahan jalan. Tapi dengan daya tarikan yang terlalu kuat dalam penulisannya, saya berasa begitu teruja untuk menyampaikan atau berkongsi pada setakat yang telah saya baca. Sangat menarik untuk direnungi dan dijadikan buah fikiran. Lebih utama lagi, kita boleh saksikan pelbagai bencana alam yang kini berlaku dengan begitu kerap dalam satu jangka masa yang pendek melumpuhkan semua aktiviti manusia. Semuanya adalah kesan daripada aktiviti manusia juga.

Mengapa buku ini diberi tajuk HOT, FLAT and CROWDED? (lagi…)

Azab di Pagi Hari

11 Apr

Terasa cepat benar masa berlalu.

Kini kita sudah memasuki pertengahan bulan April. Ini bermakna sudah suku tahun kita hidup berada di tahun 2010. Dalam tempoh tersebut, pelbagai peristiwa yang berlaku. Tak kira yang mengembirakan malahan yang jelik lagi kotor kita dengari dan tatapi melalui media-media yang ada.

Baru-baru ini, bumi Acheh kembali dilanda gempa bumi walaupun tidak sehebat badai tsunami yang melanda pada tahun 2004 dahulu. Ramai penduduk setempat lari bertempiaran apabila merasai gegaran yang tanpa diundang, takut dan risau jika peristiwa hitam yang lalu berulang semula.

Dan pada 9 April lalu, satu berita di mana seorang guru lelaki ditangkap khalwat bersama pasangannya dan diarak tanpa sebenang urat pada badan mereka oleh penduduk seterusnya mereka dihina dan dipukul dengan perasaan penuh amarah. Situasi ini menampakkan bahawa walaupun wilayah mereka pernah diberikan amaran keras oleh Allah Azzawajalla dengan amukan air bah enam tahun dulu, namun ia masih tidak diijadikan iktibar oleh segelintir mereka yang masih tewas dengan gejolak nafsu melakukan perkara-perkara larangan dalam agama Islam. Walaupun saya tidak pernah sama sekali menjejakkan kaki ke bumi Acheh, tetapi melalui berita ini ia menjadi rujukan berkenaan apa yang telah berlaku di bumi asing.

Jika diamati gempa bumi yang melanda perairan sekitar bumi Acheh pada tahun 2004 dan baru-baru ini (2010), ada satu hikmah yang membuatkan saya mengingati berkenaan sebuah buku yang pernah saya baca yakni bertajuk Misteri Azab Di Pagi Hari, karyanya Asadullah Al-Faruq.

Menerusi buku tersebut, dibentangkan musibah-musibah yang berlaku pada waktu pagi. Kenapa Allah swt memilih waktu pagi untuk menurunkan bala? Mengapa waktu pagi yang menjadi keutamaan sebagai amaran kepada yang lalai dan leka dengan keduniaan? Masih ingatkah saudara dengan peristiwa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang berlaku ketika semua penghuninya sedang lena diulit mimpi. Begitu juga dengan persitiwa di bumi Acheh di mana pada tanggal 25 Disember 2004, tsunami melanda pada waktu pagi dan ia berlaku lagi sama dengan yang terbaru.

Sebelum kedatangan Islam, pelbagai bencana yang menimpa ke atas kaum yang ingkar dan sombong dengan ketidakpercayaan kepada kewujudan Allah swt sebagai Pencipta kepada seluruh alam. Bencana ini berlaku ke atas mereka seperti yang berlaku pada kaum Sadum yang suka kepada golongan sejenis sehingga membuatkan Yang Maha Berkuasa menterbalikkan bumi menguburkan kaum tersebut pada waktu Subuh. Musibah seterusnya juga berlaku kepada kaum Aad, Tsamud dan Pasukan Namrud. Semuanya di pagi hari.

Walau bagaimanapun, di dalam buku ini juga memuatkan bagaimana berlangsungnya peristiwa-peristiwa penting ketika pada waktu pagi. Khususnya perlantikan Umar bin al-Khattab sebagai khalifah menggantikan Abu Bakar as-Siddiq. Umar dilantik setelah menunaikan solat Subuh di Masjid Nabawi. Situasi ini menunjukkan kepada kita bahawa para sahabat Rasulullah saw tidak akan mensia-siakan waktu pagi dengan memanfaatkannya untuk urusan ibadah atau kebaikan yang lainnya.

Tambahan lagi, dalam buku ini juga memuatkan hikmah dan keistimewaan  pada waktu pagi di sisi Allah swt. Rasulullah saw bersabda ;

Allah swt turun pada setiap malam ke langit dunia ketika malam tinggal sepertiga akhir, lalu Allah swt berfirman “Barangsiapa yang berdoa kepada-Ku nescaya aku kabulkan, barangsiapa yang meminta kepada-Ku, maka akan AKu berikan, dan barangsiapa yang meminta ampun kepada-Ku maka aku ampuni dia”.

Melalui sabda baginda saw di atas, dapat kita saksikan betapa dekatnya Allah swt kepada hambanya yang bermunajat dan bertahajud di pagi hari. Di samping itu, mana-mana hamba-Nya yang berusaha mengerjakan amalan-amalan sunat di pagi hari akan dilimpahi pahala serta dimurahkan rezeki dan bakal melalui kehidupan hari tersebut dengan penuh keberkatan.

Banyak pengajaran dan kesedaran apabila membaca buku ini. Walaupun nipis, tetapi ia mengandungi hikmah yang terlalu besar untuk dihayati dan dijadikan pegangan bagi menempuhi hari-hari yang berlalu dengan penuh keredhaan-Nya. Kepada sesiapa yang suka dan sering bangun lewat di pagi hari, buku ini untuk anda. Agar segala tabiat lama dapat dikikis secara perlahan-lahan dan seterusnya mengamalkan corak kehidupan yang lebih berkualiti.

Tajuk : Misteri Azab Di Pagi Hari

Penulis : Asadullah Al-Faruq

Penerbit : Pustaka Iltizam (Indonesia)

Ketebalan : 144 m/s

Pembelian di Fajar Ilmu Baru

Teruja nak tengok..

4 Apr

Filem bulan April yang tak sabar nak tengok..

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.