Arkib | Januari, 2009

Transgenesis – Menarik

28 Jan

Sebenarnya sudah lama melihat buku ini terletak kemas di satu sudut rak buku Popular Bookstore, Sibu. Setiap kali berkunjung, tangan pasti menggapai buku ini untuk membaca sinopsisnya buat sekalian kali. Namun, hati tetap belum tergerak untuk membawa dan membayarnya di kaunter. Akhirnya, minggu lepas Transgenesis Bisikan Rimba karya Amir Husaini menjadi koleksi lemari buku dan sebentar tadi baru sahaja usai membacanya.

Pertama kali saya ucapkan tahniah kepada penulisnya dengan penghasilan novel ini. Sememangnya, novel ini sangat menarik untuk dibaca. Ternyata, telahan saya selama ini mengenai novel ini adalah silap. Amir Husaini telah berjaya mengikat pembaca untuk meneruskan pembacaan berdasarkan urutan plot yang cukup tersusun sehingga pembaca tidak sabar untuk mengetahui kesudahannya.

Transgenesis Bisikan Rimba adalah nobel sci-fi yang mengisahkan satu kajian yang dilakukan oleh sebuah institut yang dikenali Institut Trans-DNA dalam penghasilan manusia yang DNAnya dibiakkan bersama dengan DNA tumbuhan. Kisahnya bermula dengan pembunuhan tauke balak Hwang Chien Ming oleh satu makhluk yang bermata dan berambut hijau dan mempunyai kuasa yang luar biasa dan ia telah disaksikan Razilan, pekerja tauke. Teknik pengolahan peristiwa ini sedikit sebanyak mendatangkan seriau kepada pembaca dengan gambaran bau kenanga yang dicium dalam hutan di waktu malam. Ia berjaya mengundang suspen kepada pembaca di permulaan cerita ini. (lagi…)

Ingin pendapat

27 Jan

Nak tahu kepada sesiapa yang sudah membaca karya Ramlee Awang Murshid seperti Hijab Sang Pencinta dan Bagaikan Puteri, adakah novel-novel ini amat menarik? Selalu menatap dan membaca sinopsisnya di kedai-kedai buku, namun masih belum tergerak hati untuk mendapatkannya. Jika sesiapa ada pandangan, harap tinggalkan komen anda. Mungkin ia mampu menimbulkan minat seterusnya turut hanyut menghayati intinya sebagaimana kalian.. :)

Memoir Seorang Guru

26 Jan

Tika saat menunggu untuk memasuki kelas, saya mengambil peluang memenuhi masa yang ada untuk menghadam isi kandungan novel karyanya Pak Azizi Hj.Abdullah ini. Nyata sekali, kepuasan mengusaikan pembacaan begitu bermakna sekali. Takjub dan kagum dengan penulisnya yang mampu mengungkapkan setiap watak dengan cukup berkesan. Mungkin pada permulaan pembacaan, saya masih terkial-kial memahami perkataan yang digunakan seperti ‘kepikunan’ yang sedikit mengganggu penghayatan. Namun, setelah dari satu helaian ke satu helaian, ia menjadi kebiasaan dan keseronokan itu mula wujud dengan plot dan perwatakan yang diciptakan begitu menarik sehingga menimbulkan pelbagai perasaan dalam diri.

Memoir Seorang Guru mengisahkan seorang ustaz yang cukup berkeras melarang anak gadisnya bernama kamariah menceburi bidang perguruan kerana baginya bidang tersebut tidak mendatangkan keberkatan dan jauh sekali untuk mencapai tahap kemurabbian. Ini semua adalah disebabkan beliau tidak mahu anaknya mengikuti apa yang telah dilaluinya sepanjang mencurahkan ilmu kepada anak-anak bangsa. (lagi…)

Selamat Tahun Baru Cina 2009

26 Jan

Dengan kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada seluruh masyarakat Cina di Malaysia dan seluruh dunia.

Semoga perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia semakin utuh dan harmoni dalam menjalani kehidupan seharian.

Jiwa yang luntur

24 Jan

Genjatan senjata daripada tentera Israel sudah pun berlalu beberapa hari yang lalu. Kini, warga Palestin menghadapi sisa-sisa kehidupan dengan penuh kehibaan. Jika dahulu mereka ditemani sanak saudara, kini mereka menjadi sebatang kara. Alangkah malangnya kanak-kanak yang hidupnya sudah keseorangan tanpa sesiapa lagi di sisi. Kehidupannya kini ditemani insan-insan yang senasib dengannya. Ketika mereka diperangi oleh askar Yahudi, rakan-rakan negara Islam yang lain hanya mampu melihat dan bercakap dari luar sambil melindungi kepentingan masing-masing.  Persidangan gempar di kalangan negara Arab yang bertujuan untuk mencari jalan penyelesaian sebaliknya menjadi perbalahan antara mereka. Akhirnya, tiada titik noktah dapat dilaksanakan.

Dengan masyarakat Palestin yang sekarang dalam kebuluran dan kesejukkan tanpa kediaman yang sudah ranap menyembah bumi, ada insan berbangsa Arab yang kaya-raya di mana asetnya puluhan billion hanya lebih mengutamakan temboloknya. Tiada sebarang kesedaran pun untuk membantu warga Palestin yang kini amat memerlukan bantuan.

Dilaporkan dalam Harian Kosmo hari ini, seorang jutawan Arab bernama Dr. Sulaiman Al-Fahim yang bersungguh-sungguh untuk memiliki empayar pasukan Liga Perdana Inggeris, Chelsea FC. Beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hydra Properties yang berpangkalan di Abu Dhabi juga merupakan Pengerusi Falcon Equity, syarikat yang dikendalikan Holger Heims, bekas rakan niaga Deutsche Venture Capital (DVC) begitu bersemangat untuk mengambilalih kepentingan pasukan ini daripada Roman Abramovich. Sebelum itu, seorang lagi jutawan Arab yang memiliki kelab Manchester City beria-ia untuk membawa masuk bintang Brazil, Kaka dari AC Milan dengan tawaran sebanyak 243 juta pound (RM1.28 bilion). Tawaran yang diberikan ialah dengan gaji tahunan sebanyak 13.28 juta pound (RM69 juta) bersamaan dengan 255,000 pound (RM1.32 juta) seminggu. Ketamakan mereka dengan kuasa wang nyata sekali menyakitkan hati.

Faktor sebeginilah menyebabkan umat Islam ditindas dengan mudah kerana pihak yang jahat mengetahui bahawa semangat dan keimanan umat Islam kini sudah luntur malahan ada yang sudah semakin jauh terpesong. Ini semua disebabkan keberkesanan gerakan hegemoni yang mereka laksanakan dari dulu sehingga sekarang yang nyata sekali merosakkan akidah umat Islam. Yang kaya terus lupa yang memerlukan di bawah. Mereka tidak menyedari rezeki yang Allah swt kurniakan bila-bila sahaja boleh ditarik semula.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.