Kembali

27Okt08

Beberapa hari ini, terasa kekeringan idea untuk menukilkan bicara di dalam blog ini. Banyak masa dihabiskan berkunjung ke halaman blog rakan-rakan blogger yang lain. Sememangnya, begitu banyak perkara yang berlaku ingin disentuh. Tetapi kegelapan fikiran membuatkan diri saya sukar untuk memulakan bicara di sini.

Sekarang, hanya tinggal lebih kurang dua minggu lagi bermula saat kehidupan saya daripada seorang penanam anggur kepada seorang pendidik. Tepat 10 November 2008, diri ini akan dipostingkan. Sayugianya, kini masa saya banyak dihabiskan hanya dengan menonton, surfing, memasak dan menjamu fikiran dengan santapan buku setiap hari.

Baru-baru ini, saya singgah di kedai buku dalam Wisma Sanyan, Sibu. Pada suatu ketika, memang selalu diri saya mengunjungi kedai ini, tetapi banyak buku yang kurang menarik perhatian berada di rak bukunya. Setiap kali ke Sibu, kedai buku yang baru dibuka iaitu Popular Bookstores yang terletak di mall berlainan selalu menjadi kewajipan untuk singgah setiap kali bertandang ke bandar Sibu. Setelah meninjau dan membelek-belek beberapa buah buku, akhirnya saya mendapatkan dua buah buku sastera. Sememangnya kali terakhir saya membaca bahan-bahan sastera adalah ketika KOMSAS di Tingkatan 5 dahulu. Ini bermakna sudah 7 tahun diri saya tidak mengambil berat dunia sastera negara kita. Ini adalah semuanya gara-gara dasar pendidikan kita yang masih terlalu berorientasikan peperiksaan. Belajar hanya untuk lulus cemerlang. Mengejar bilangan “A” dalam setiap kertas peperiksaan. Sampai bilakah sistem ini berlarutan?

Iya, kembali kepada perkara pokok tadi. Dua buah buku. Bukunya adalah ‘1515′ karya Faisal Tehrani. Buku ini merupakan buku yang sudah berada di pasaran iaitu dicetak pada tahun 2003. Sebuah lagi ialah buku ‘Si Bongkok Tanjung Puteri’ karya Abdul Latip Talib. Kedua-dua penulis adalah penulis yang tersohor dalam dunia kusasteraan negara. Cuma diri saya amat daif kerana lambat mengenali, menyedari kepentingan dan keistimewaan bidang ini. Kini, saya sedang membaca buku 1515. InsyaAllah, dalam masa beberapa hari cuba menghabiskan pembacaannya. Kembali mengenali dan menjiwai masyarakat sastera setelah sekian lama tidak mengambil tahu.

Semoga golongan ini terus berkarya dan memperhebatkan dunia sastera negara. Harapan ia terus menarik minat golongan yang alpa seperti saya agar bersama-sama memperhebatkan bidang ini ke satu paras yang membanggakan.



No Responses Yet to “Kembali”  

  1. No Comments Yet

Leave a Reply