Arkib | Oktober, 2008

Mari ‘klaka’ Sarawak

31 Okt

Tiba-tiba muncul idea untuk mengetengahkan belajar bahasa Sarawak. Sebab saya pasti masih belum ramai yang mengetahui makna dan berbahasa Sarawak terutamanya masyarakat luar Sarawak. Memandangkan ramai rakan-rakan yang akan posting ke Sarawak bermula 10 November ini, apa kata kita belajar bahasa bumi Kenyalang. Jom, kita mulakan sekarang yok..

Kata Ganti Nama

  • BAHASA SARAWAK                        BAHASA MELAYU
  • Kamek                                                         Saya /aku
  • Kitak                                                           Kamu/awak
  • Nya                                                             Dia
  • Sidak                                                           Mereka
  • Kamek orang                                              Kami

Kata Arah

  • BAHASA SARAWAK                         BAHASA MELAYU
  • Ya                                                                 Itu
  • Tok                                                               Ini
  • Siney                                                            Ke mana
  • Sitok                                                             Sini
  • Sinun                                                           Sana

Baiklah, sekian untuk kita pelajari hari ini. InsyaAllah, kemudian akan bersambung dengan lebih banyak perkataan untuk dipelajari. Kepada pengunjung yang bisa berbicara bahasa Sarawak, boleh sahaja menambahkan beberapa perkataan lain di ruang komen ya.. :)

“Dabai” Buah Tropikal Sarawak

31 Okt

Di Sarawak sekarang, jikalau anda singgah ke pasar basah untuk membeli barang keperluan dapur, anda akan terlihat satu buah yang sebesar ibu jari berwarna hitam. Buahnya dikenali buah ‘dabai’. Kebiasaannya, buah dabai amat terkenal dan senang untuk diperolehi di kawasan pertengahan Sarawak iaitu Sibu dan Sarikei. Ternyata, buah ini menjadi favourite dan tidak asing kepada masyarakat Sarawak. Ini membuatkan ia sentiasa mendapat sambutan oleh penggemarnya sehingga ada yang sanggup membeli sampai berkilo-kilo.

Mengikut sumber yang tak sahih, buah dabai hanya boleh didapati di negeri Sarawak dan Brunei sahaja. Dalam bahasa saintifik, buah ini dipanggil sebagai Canarium odontophyllum. Bagi yang tidak biasa, buahnya tidak boleh dimakan begitu sahaja. Sebaliknya, ada cara  tertentu untuk membolehkan ia enak dimakan. Ketika buah dabai masih muda, ia kelihatan putih pada luarannya dan kemudian bertukar menjadi hitam apabila ia sudah masak. Isinya pula berwarna kuning. Bijinya pula berbentuk seperti bola ragbi tetapi bersegi tiga.

Bagaimana untuk menyediakan buah dabai.? Ia mengikut kreativiti penggemar masing-masing. Namun, kebiasaannya buah dabai direndam terlebih dahulu dengan air panas sehingga buahnya menjadi lembut. Kemudian, air panas dibuang. Seterusnya, ia sudah sedia untuk dimakan dengan bertemankan kicap ataupun garam. Mengikut penggemarnya, buah dabai terasa lemak untuk dimakan. Ini yang menyebabkan ia amat sedap untuk dimakan bersama nasi yang masih panas-panas. Selamat Mencuba.. :)


Menteri Termiskin

30 Okt

Hari ini terasa amat bosan. Sinaran matahari amat memeritkan. Hingga saya berada di bilik terasa bahangnya walaupun sudah memasang kipas dengan kelajuan yang maksima. Ternyata, anginnya hanya berlalu tanpa memberikan kedinginan kepada tuan badan. Kekhusyukan saya berbaring sambil membaca novel karya Faisal Tehrani sedikit terganggu dengan persekitaran begini. Akhirnya, saya bingkas. Menyelak laptop dan terus melayari alam internet..

Selepas berkunjung ke sana sini, akhirnya tertarik kepada satu artikel dari indonesia. Tuan blognya menukilkan satu kisah mengenai menterinya yang bernama Anton Apriantono. Berdasarkan laporan kekayaan penyelenggara negara (LHKPN), jumlah kekayaan beliau hanya Rp 388.936 juta. Mungkin rakyat Malaysia terbeliak matanya melihat dan mendengar angka ini. Namun diingati, kadar pertukaran mata wang Rupiah kepada Ringgit Malaysia (RM) adalah kecil nilainya berbanding nilai RM. Saya tidak pasti berapakah kadar mata wang RM dengan Rupiah pada masa ini.

Mengikut kisahnya, Pak Anton adalah satu-satunya Menteri yang paling senang untuk dihubungi dan didekati. Di ruang parking rumahnya hanya mempunyai dua buah kenderaan. Salah satunya ialah Kijang keluaran 1994. Ini adalah amat berbeda dengan menteri lainnya yang biasa mempunyai koleksi kenderaan terbaru di halaman mewah mereka.

Antara kata-kata daripada Pak Anton yang membuatkan saya tertarik ialah

Kalau pemimpin tidak bisa menjadi uswah (teladan), jangan berharap anak buah mengikuti

Ini adalah prinsip yang menjadi pegangan Pak Anton. Ketika saat keluar daerah menaiki pesawat, Pak Anton lebih senang dengan kelas ekonomi. Beliau tidak mahu untuk duduk di kelas bisnes. Menurut beliau lagi, “Kalau menterinya (pakai) ekonomi, anak buahnya nggak ada yang berani (di kelas) bisnis,” ungkapnya lantas tersenyum. Amalan Pak Anton mengingatkan diri saya teringat kepada satu kisah mengenai Ketua Menteri Pulau Pinang sekarang, Lim Guang Eng yang turut menjejak langkah yang sama. Ceritanya boleh saja anda ikuti di sini.

Berbalik semula kepada kisah Pak Anton di mana beliau tidak gemar untuk menginap di hotel yang lebih dari tiga bintang. Menurut beliau, sambutan VVIP kepada para pemimpin haruslah dikikis. Kerana ia adalah suatu pembaziran. Tambahan lagi, Pak Anton lebih gemar untuk bermalam di rumah petani jika dibandingkan dengan hotel. Dia lantas menceritakan pengalamannya ketika menginap di rumah salah seorang petani di Karawang. “Saat itu, atap rumahnya sudah mau roboh,” katanya seraya tersenyum lebar. Ternyata, semangat dan keprihatinan Pak Anton memahami rakyat sukar untuk dilihat pada pemimpin dunia yang lain. Saya pasti dan belum pernah kedengaran pemimpin rakyat tidur dan bermalam di rumah rakyat biasa yang susah.

Gambar hiasan

Gambar hiasan

Semoga kisah Pak Anton ini bisa sahaja dijadikan sebagai iktibar dan contoh kepada pemimpin yang lain. Walaupun menduduki jawatan tertinggi, tapi biar lah hidup dengan sederhana. Ini amat berbeda dengan pemimpin lain yang lebih suka kepada hidup yang digelumangi glamour. Yang paling diutamakan ialah bagaimana amanah yang diberikan dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Kembali

27 Okt

Beberapa hari ini, terasa kekeringan idea untuk menukilkan bicara di dalam blog ini. Banyak masa dihabiskan berkunjung ke halaman blog rakan-rakan blogger yang lain. Sememangnya, begitu banyak perkara yang berlaku ingin disentuh. Tetapi kegelapan fikiran membuatkan diri saya sukar untuk memulakan bicara di sini.

Sekarang, hanya tinggal lebih kurang dua minggu lagi bermula saat kehidupan saya daripada seorang penanam anggur kepada seorang pendidik. Tepat 10 November 2008, diri ini akan dipostingkan. Sayugianya, kini masa saya banyak dihabiskan hanya dengan menonton, surfing, memasak dan menjamu fikiran dengan santapan buku setiap hari.

Baru-baru ini, saya singgah di kedai buku dalam Wisma Sanyan, Sibu. Pada suatu ketika, memang selalu diri saya mengunjungi kedai ini, tetapi banyak buku yang kurang menarik perhatian berada di rak bukunya. Setiap kali ke Sibu, kedai buku yang baru dibuka iaitu Popular Bookstores yang terletak di mall berlainan selalu menjadi kewajipan untuk singgah setiap kali bertandang ke bandar Sibu. Setelah meninjau dan membelek-belek beberapa buah buku, akhirnya saya mendapatkan dua buah buku sastera. Sememangnya kali terakhir saya membaca bahan-bahan sastera adalah ketika KOMSAS di Tingkatan 5 dahulu. Ini bermakna sudah 7 tahun diri saya tidak mengambil berat dunia sastera negara kita. Ini adalah semuanya gara-gara dasar pendidikan kita yang masih terlalu berorientasikan peperiksaan. Belajar hanya untuk lulus cemerlang. Mengejar bilangan “A” dalam setiap kertas peperiksaan. Sampai bilakah sistem ini berlarutan?

Iya, kembali kepada perkara pokok tadi. Dua buah buku. Bukunya adalah ’1515′ karya Faisal Tehrani. Buku ini merupakan buku yang sudah berada di pasaran iaitu dicetak pada tahun 2003. Sebuah lagi ialah buku ‘Si Bongkok Tanjung Puteri’ karya Abdul Latip Talib. Kedua-dua penulis adalah penulis yang tersohor dalam dunia kusasteraan negara. Cuma diri saya amat daif kerana lambat mengenali, menyedari kepentingan dan keistimewaan bidang ini. Kini, saya sedang membaca buku 1515. InsyaAllah, dalam masa beberapa hari cuba menghabiskan pembacaannya. Kembali mengenali dan menjiwai masyarakat sastera setelah sekian lama tidak mengambil tahu.

Semoga golongan ini terus berkarya dan memperhebatkan dunia sastera negara. Harapan ia terus menarik minat golongan yang alpa seperti saya agar bersama-sama memperhebatkan bidang ini ke satu paras yang membanggakan.

Happy Deepavali

26 Okt

Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Meraikan Perayaan Deepavali kepada kalai, david, kumari dan rakan-rakan lain yang berbangsa India ketika sekelas dahulu di UPSI serta semua penganut agama India di seluruh Malaysia.

Semoga perayaan Pesta Cahaya ini mengeratkan lagi hubungan perpaduan dan semangat muhibbah sesama rakyat Malaysia dan bersama-sama memupuk kehidupan yang lebih harmoni.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.