Setelah 7 tahun dilaksanakan, petang tadi Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) secara sepenuhnya menjelang tahun 2012.

Walaupun pemansuhannya secara berperingkat, ia sudah cukup memadai dan seharusnya memanjatkan kesyukuran kerana Bahasa Melayu kembali didaulatkan sebagai bahasa pengantar bagi kedua-dua subjek tersebut.

Nyata sekali, segala penat jerih dan kesabaran para pejuang bahasa terutamanya ahli GAPENA dan masyarakat yang selama tempoh itu berbaloi. Tidak sia-sia atas perhimpunan aman yang berlaku pada Mac yang lalu.

Atas kejayaan ini, sayugia diingatkan agar para pengkarya dan badan-badan yang berfungsi dalam memartabatkan bahasa Melayu mengambil teladan ini sebagai pencetus dan pembangkit nafsu untuk meningkatkan mutu dan kualiti penggunaan Bahasa Melayu. Langkah-langkah yang tepat mesti diambil sebagai laluan kepada mencambahkan kebanggaan rakyat Malaysia kepada bahasa kebangsaan negara.

Belajarlah daripada sejarah itu, kerana ia telah mendewesakan kita.


Saya mengenali Ustaz Hasrizal bin Abdul Jamil melewati blog beliau yakni saifulislam.com sebelum saya mula membaca buku beliau yang diterbitkan oleh Galeri Ilmu. Buku ‘Aku Terima Nikahnya’ telah mendapat sambutan yang sangat baik daripada para penggemar buku. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 yang lepas telah memurahkan lagi rezeki beliau melalui dua buku yang dilancarkan secara serentak iaitu Bercinta Sampai Ke Syurga dan Rindu Bau Pohon Tin.

Saya baru sahaja mengusaikan pembacaan bagi buku beliau, Rindu Bau Pohon Tin (RBPT). Dengan mencuri-curi masa sambil menyiapkan urusan, alhamdulilah saya dapat menyelesaikannya dalam beberapa hari sahaja. RBPT membingkiskan tentang imbauan pengalaman dan kembara dalam menuntut ilmu penulis di Dataran Syam, yakni Jordan. Negara Jordan sangat dikenali melalui sejarah peperangan antara tentera Islam di Mut’ah yang menyaksikan kematian syahid ke atas Zaid bin Harithah, Ja’afar bin Abi Thalib dan Abdullah bin Rawahah.

Menariknya buku ini adalah cara penyampaian yang santai sehingga membibitkan rasa keterujaan untuk mengikuti kisah-kisah yang dilalui oleh penulis di bumi asing. Menuntut ilmu di Jordan sememangnya memerlukan komitmen sepenuhnya di kalangan pelajar di mana kehadiran ke kelas amat ditekankan. Ini berbeza dengan situasi di IPT dalam negara yang hanya tidak begitu ketat pelaksanaannya berkaitan kehadiran siswa-siswi ke bilik kuliah sehingga diberikan kebebasan tanpa pertimbangan.

Yang paling saya kagumi adalah berkenaan dengan cara didikan para pensyarah penulis yang begitu komited dalam mendidik pelajarnya. Misalnya peristiwa di mana Dr. Mustafa Abu Zaid yang begitu tegas dalam menegakkan fitrah dan kefahaman pelajar. Pelajarnya disuruh untuk mengkaji dan membaca sumber ilmu itu dengan sedalam-dalamnya.

Tambahan, penulis juga memuatkan pengalaman beliau berpuasa di bumi Jordan yang nyata berbeza dengan negara kelahiran, Malaysia. Penulis turut menceritakan khutbah jumaat di sana yang sentiasa panas dengan isu-isu yang menyedarkan sehingga tiadanya kantuk di kalangan orang yang mendengar. Bagi saya, ia satu cara yang bagus untuk dilaksanakan di negara Malaysia. Ini memandangkan khutbah jumaat sekarang yang amat terkawal melalui pembacaan teks. Pernah suatu ketika dahulu, saya mendengar khutbah yang menyentuh tentang isu gejala Mat Rempit dan pemakanan seimbang yang bisa kita baca menerusi majalah dan surat-surat khabar. Langsung tiada tarikan untuk membangkitkan jiwa keIslaman di kalangan pendengar. Continue reading ‘Rindu Bau Pohon Tin’


Hadiah

28Jun09

Semalam sekolah ganti sempena cuti Aidilfitri bulan September nanti. Maka, minggu ini hanya hari ini dapat diluangkan untuk merehatkan badan dan minda sebelum menempuh besok yang menuntut komitmen semula.

Pada saat ini, saya sedang memikirkan berkenaan hadiah yang sudah dijanjikan kepada pelajar mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan. Hanya satu benda yang paling sesuai untuk dihadiahkan yakni BUKU. Ini bagi menanamkan dan menyemai sifat membaca di kalangan generasi ini agar mereka pula meneruskan untuk anak-anak mereka pula nanti.

Memandangkan faktor tempat yang berada di pedalaman, saya memasang perancangan untuk ke Bandar Sibu bagi mengenalpasti dan mencari buku yang sesuai untuk mereka. Saya tidak pasti untuk membeli buku apa kerana kebiasaannya di kedai-kedai yang selalu saya singgahi secara tetap agak lambat untuk mengeluarkan produk buku yang terbaru. Sedikit terlewat berbanding dengan Semenanjung.

Dengan harapan, agar buku yang sudah bermain-main di minda dan hati sudah ada di kedai buku, Sibu. Jika tidak, kena menunggu atau bisa membeli secara online sahaja.


Teringat lagi pada suatu masa ketika menuntut di UPSI dahulu, saya telah meminjam sebuah novel terjemahan The Da Vinci Code. Sebelum membaca novel ini, saya sudah pun menonton DVD filemnya di komputer peribadi. Walau bagaimanapun, kesukaran untuk memahami dan menghayati filem tersebut membuatkan saya tidak teragak-agak untuk meminjam novelnya di perpustakaan Tuanku Bainun pada masa itu walaupun dalam beberapa hari peperiksaan semester bakal berlangsung.

Nikmat. Itulah bait kata yang paling sesuai untuk saya gambarkan apabila usai membaca novel terjemahan dalam Bahasa Indonesia tersebut. Nyata sekali, menguliti novelnya lebih enak berbanding menonton filemnya. Pada waktu itu, saya terfikir bagaimana negara Indonesia begitu maju dalam industri penterjemahan berbanding Malaysia. Memang diakui, begitu sukar untuk menemukan karya-karya Barat yang diterjemahkan dalam Bahasa Melayu. Sememangnya, bahasa Indonesia memonopoli karya terjemahan di kedai-kedai mahupun perpustakaan negara ini.

Namun begitu, kini beberapa badan mahupun syarikat sudah mula mengorak langkah proaktif dalam industri penterjemahan misalnya, Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dan PTS Publications Sdn. Bhd. Sebelum diserahkan kepada ITNM pada tahun 1993, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diberi amanah untuk menguruskan hal-hal urusan terjemahan negara.

Sebenarnya, aktiviti penterjemahan sangat penting dalam membina dan membangunkan pemikiran minda rakyat. Berdasarkan sejarah, para ilmuwan Islam begitu aktif dalam menterjemahkan karya-karya ilmu dari bahasa Greek dan Yunani termasuk berkenaan sains dan teknologi. Sehubungan itu, ilmuwan Islam menemukan banyak perkara yang bermanfaat dan berguna sehingga negara Islam telah mencapai kegemilangan dalam tamadunnya kesan daripada kekayaan ilmu di kalangan masyarakat Islam pada masa itu. Siapa yang tidak mengenali Khwarizmi, Al-Biruni, Ibn Sina dan tokoh-tokoh lain. Kehebatan penemuan mereka kini telah dimajukan pula bangsa Barat yang menterjemahkan karya-karya Arab kepada bahasa mereka sehingga umat Islam kehilangan hak mengembalikan kecemerlangannya dalam penemuan-penemuan yang penting.

Negara kita masih ketinggalan jauh dalam bidang penterjemahan ini jika dibandingkan negara jiran terutamanya Indonesia. Menurut Rejab F.I, sebuah buku baru yang diterbitkan di negara misalnya novel yang memenangi Hadiah Sastera My Name is Red (Namaku Merah Kirmizi) karya Orhan Pamuk, cuma dalam masa sebulan telah diterjemah dan diterbitkan di Indonesia. Di bandar-bandar utama seperti Jakarta, Surabaya, Medan, Bukit Tinggi, Ujung Padang terdapat toko buku yang besar, bertingkat-tingkat, khususnya Gramedia, memenuhi sekian banyak buku dalam segala bidang. Sebahagian besarnya adalah buku-buku dalam bahasa Indonesia sama ada karya asli atau terjemahan.

Berbanding Malaysia, semenjak ditubuhkan 14 tahun dahulu, ITNM hanya mampu menerbitkan buku terjemahan sebanyak 154 tajuk sahaja. Betapa kecil dan kerdilnya industri terjemahan negara dan ini telah menjadi bukti mengapa rakyat kita tidak membangun dan berada di takuk minda kelas ketiga walaupun kemajuan negara sudah jauh ke depan.

Jeniri Amir pula mengatakan tanpa penterjemahan, sesebuah kumpulan etnik dan negara akan terpulau dalam dunianya sendiri, sedangkan dalam zaman globalisasi, itu adalah sesuatu yang mustahil. Terjemahan dapat merapatkan jurang pemisah dan merungkaikan tembok perbezaan, dan melaluinya, kita akan dapat membina persefahaman. Sesungguhnya, bidang penterjemahan mampu memperkayakan dan membangunkan pengkorpusan bahasa Melayu di negara kita. Oleh yang demikian, segala ilmu yang penting cepat difahami dan berkesan untuk ditanam dalam minda masyarakat kita.

Bahawasanya, buku itu diibaratkan sebuah mata air yang tidak pernah kering. Kisah-kisah dan ilmu daripadanya sentiasa mengalir, memberikan kesegaran, menghilangkan kehausan dan memberikan satu inspirasi yang baru dalam perspektif kehidupan manusia. Maka, bidang penterjemahan sangat penting dalam melaksanakan misi ini agar rakyat Malaysia tidak ketinggalan dan ketandusan ilmu.

p/s sedang mengeluti novel terjemahan Bahasa Indoensia Dan Brown “Malaikat dan Iblis” (Angels and Demons)


Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah. Mungkin ramai yang kurang mengenali siapa yang bernama itu. Namun, jika digelarkan dengan Prof. Hamka sudah pasti semua tahu dan mengenali dirinya. Beliau cukup terkenal dengan karya-karya agungnya terutama sekali seperti Di Bawah Lindungan Kaabah, Tenggelamnya Kapal Van der Wijck, Falsafah Ketuhanan, Falsafah Hidup dan Merantau Ke Deli.

Beliau telah dilahirkan pada 17 Februari 1908 di Kampung Molek, Maninjau, Sumatera Barat, Indonesia dan merupakan anak lelaki kepada Syeikh Abdul Karim bin Amrullah atau dikenali sebagai Haji Rasul, seorang pelopor Gerakan Islah (tajdid) di Minangkabau.

Hamka adalah seorang yang bijak dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan seperti falsafah, sastera, sejarah, sosiologi dan politik, baik Islam mahupun Barat. Dengan kemahiran bahasa Arabnya yang tinggi, beliau dapat menyelidiki karya ulama dan pujangga besar di Timur Tengah seperti Zaki Mubarak, Jurji Zaidan, Abbas al-Aqqad, Mustafa al-Manfaluti dan Hussain Haikal. Melalui bahasa Arab juga, beliau meneliti karya sarjana Perancis, Inggeris dan Jerman seperti Albert Camus, William James, Sigmund Freud, Arnold Toynbee, Jean Paul Sartre, Karl Marx dan Pierre Loti. Hamka juga seorang yang rajin membaca dan sering bertukar-tukar fikiran dengan tokoh-tokoh terkenal Jakarta seperti HOS Tjokroaminoto, Raden Mas Surjopranoto, Haji Fachrudin, Ar Sutan Mansur dan Ki Bagus Hadikusumo sambil mengasah bakatnya sehingga menjadi seorang ahli pidato yang handal.

Pada 26 Julai 1977, Menteri Agama Indonesia, Prof. Dr. Mukti Ali melantik Hamka sebagai ketua umum Majlis Ulama Indonesia (MUI) tetapi beliau kemudiannya meletak jawatan pada tahun 1981 karena nasihatnya tidak dipedulikan oleh pemerintah Indonesia pada masa tersebut iaitu Kerajaan Suharto. Keputusan itu adalah cerminan sikap yang bertanggungjawabnya yang tidak mahu umat Islam terjerumus dalam kesesatan.

Pada zaman pemerintahan Sukarno, Hamka telah berani mengeluarkan fatwa bahawa haram hukunya bagi Sukarno menikah lagi, kerana presiden tersebut telah mempunyai beberapa orang isteri. Kebetulan pada masa tersebut, ia termasuk tokoh Islam yang berani menentang sikap pemerintah yang begitu rapat dengan Parti Komunis Indonesia (PKI). Menurut Hamka, PKI adalah parti yang membahayakan keselamatan kehidupan beragama di negara ini, kerana komunis tidak mengakui adanya Tuhan. Atas ketegasannya itu, beliau telah meringkuk di penjara bersama tokoh Masyumi dan PSI kerana fitnah pertubuhan LEKRA, pimpinan Pramoedya Ananta Toer. Namun demikian, beliau tidak pun berdendam terhadap Sukarno. Terbukti ketika Bung Karno wafat, Hamka yang dilantik menjadi imam solat jenazahnya. Continue reading ‘Mengenali Prof. Hamka’




RSS BunnyBaby

  • Trend pembacaan di kalangan penduduk Selangor (Bhg. 2) Jun 27, 2009
    (Demografi penuh kumpulan responden tidak akan disertakan) Kumpulan responden yang telah disaring untuk analisa ini terdiri daripada pecahan 42.5% lelaki dan 57.5% wanita. Majoriti responden memiliki tahap pendidikan tinggi, yakni sebanyak 66.5%. 65.5% responden terdiri daripada pelajar (menengah dan IPT), 20% mewakili sektor kerajaan, dan selebihnya daripa […]
    bunnybaby

RSS Saifulislam.com

  • Kembara Satu Dalam Seribu Julai 12, 2009
    “Sejuk betullah!” saya menggigil di Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia, Amman. “Di Turki, entahlah. Lebih sejuk pastinya,” Nushi juga berpeluk tubuh sambil melangkah laju masuk ke dewan berlepas. Perjalanan dari Amman ke Istanbul dengan penerbangan Royal Jordanian pagi itu sedikit terlewat. Seperti biasa. RJ yang kadang-kadang […]
    Abu Saif

RSS ProfAbdullah

  • PPSMI: Stereng yang Rosak, Bodi Kereta yang Dicat Julai 12, 2009
    Artikel ini dipetik dari blog Presiden PTS, Tuan Arief Hakim Rahmat Tahniah TPM! Pertama sekali, tahniah TPM kerana berani dan bijak. Bijak! Beliau mengaku bahawa data yang dikumpul menunjukkan bahawa polisi PPSMI gagal sama sekali meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Perbelanjaan lebih dari RM4 billion, manakala penguasaan bahasa Inggeris pelajar hanya […]
    Abdullah

RSS Faizah

  • Some posh named author Julai 10, 2009
    With a thousands of ridiculous reasons to procrastinate my reading, and just when I thought that the flame of passion was totally extinguished, I found the following one with a price of less than RM20. Albeit used, it looks rather new. So I picked it up with no second thought.But currently, this is my only little prince.. (aaauuuuwww..)And another one that I […]
    Faizah Roslaini

RSS Faisal Tehrani

  • Ketupat Cinta Musim Kedua dan Sebuah Muzikal Julai 12, 2009
    Buat pengekor satira Ketupat Cinta, saya dengan sukacitanya ingin memaklumkan Ketupat Cinta (Musim Kedua) akan mulai menemui pembaca secara bersiri di sebuah akhbar (saya akan memaklumkan di akhbar mana apabila waktunya tiba Insya-Allah) minggu ini.Selain itu saya juga sedang giat mengurus dan melatih sepasukan aktor untuk muncul dalam sebuah muzikal yang ba […]
    Faisal Tehrani

RSS Buku-Ria

  • Hujung minggu terindah Julai 12, 2009
    Sabtu dan Ahad ini antara hujung minggu terindah dalam hidup saya sejak berkahwin. Perasaan saya segar. Allah telah memberi rezeki kerja kepada saya. Allah telah memakbulkan doa saya. Walaupun bukan kerjaya tetap, saya berjaya mendapat kerja yang bukan lagi separuh masa. Satu bukti keseriusan saya untuk terus berkerjaya pada masa depan. Bagi wanita lain yang […]
    najibah